Oleh : Muhammad Zulkamal Awang Haji Kamis / Foto : Hernie Suliana Haji Othman
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 16 Jun. – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ketika menyentuh mengenai cabaran, Alhamdulillah, Brunei kita dapat sentiasa berkeadaan selamat, tanpa mengalami sebarang bencana alam yang mengganggu kehidupan. Ini semua adalah berkat Brunei ditanai dengan doa, dengan zikir dan dengan Al-Quran.
Cuma satu perkara yang memerlukan perhatian bersama ialah Brunei kadang-kadang terpalit dengan jenayah seperti jenayah dadah, jenayah curi dan lain-lain yang mengaibkan negara serta amat dibenci oleh agama.
“Maka dalam perkara ini, semua agensi, khasnya yang berkenaan dengan keselamatan dan agama hendaklah bergerak pantas mendepani gejala ini," demikian antara petikan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam Titah Perutusan bersempena Tahun Baharu Hijrah 1448 di Istana Nurul Iman, hari ini.
Khusus bagi pihak agama, titah baginda lagi, ialah memperkasa pendidikan agama dan bidang dakwah, bagi tujuan menanam kesedaran membenci dadah dan lain-lain jenayah dalam kalangan masyarakat.
“Pada hemat beta, dalam senario seperti ini, kita orang Islam adalah dituntut supaya jangan lupa membanyakkan doa meminta selamat, meminta negara bersih daripada jenayah, insyaaAllah, perlindungan akan tetap berpihak kepada kita," titah baginda.
“Di sinilah tanggungjawab kita sedang diperlukan, iaitu tanggungjawab menyelamat terhadap umat dan negara. Beta yakin, perkara ini mampu untuk kita capai dengan izin Allah," titah baginda lagi.
Maka dalam senario seperti ini, titah baginda, kita orang Islam diperlukan supaya sentiasa waspada, bukan banyak lalai atau lupa tetapi banyak berdoa dan berzikir meminta selamat.
Terdahulu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah dengan niat suci semata-mata kerana Allah, marilah kita sama-sama merafakkan syukur kepada-Nya, yang telah mentakdirkan kita dipanjangkan umur untuk dapat menyambut dan meraikan lagi Tahun Baharu Hijrah.
“Kita berharap dan malah berdoa semoga tahun baharu ini akan dapat diisi dengan usaha-usaha berkebajikan bagi diri sendiri dan keluarga serta bagi negara tercinta," titah baginda.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya bertitah, banyak perkara masih perlu dibuat sama ada dalam bidang mata benda mahupun dalam bidang rohani. Bidang mata benda meliputi ekonomi dan pembangunan fizikal, sementara bidang rohani pula meliputi ilmu, pendidikan dan dakwah.
“Semua ini menuntut kita untuk bekerja keras, tanpa mengenal titik noktah. Ada pun tahun baharu, hanyalah wadah untuk memperbaharui azam, bukannya untuk kita baharu hendak melangkah melakukan kerja," titah baginda lagi.
Dalam era hari ini, titah baginda, banyak perkara jadi cabaran. Sama ada kita suka atau tidak, dunia kita kini adalah sedang berada dalam kancah peperangan. Dari peperangan, tidak ada sebarang kebajikan yang dapat ditunggu, melainkan semuanya adalah penderitaan dan kesusahan belaka. Semua pihak termasuk kita, tidak ada yang terkecuali dari turut menerima kesannya.
“Akhir kalam, untuk menutup perutusan ini, beta dan keluarga beta, dengan sukacita dan besar hati mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baharu Hijrah 1448 kepada seluruh lapisan rakyat dan penduduk di negara ini, semoga dengan berkat tahun baharu, kita semua dilimpahi rahmat dan nikmat oleh Allah berupa petunjuk atau hidayat serta keselamatan dan rezeki yang mencurah-curah. Amin, Ya Rabbal Alamin," titah Kebawah DYMM mengakhiri Titah Perutusan sempena Tahun Baharu Hijrah 1448.